Make your own free website on Tripod.com

SEJARAH RINGKAS ASAL USUL NEGERI SEMBILAN
 
 

Sebelum penjajah barat menakluki alam Melayu ini, beberapa buah kerajaan yang masyhur telah bertapak kuat dalam rantau dan daerah tertentu seperti kerajaan Sri Vijaya yang berpusat di Palembang, Majapahit, Bugis, Riau Lingga, Pasai, Acheh, Temasek, Melaka dan lain-lain. Semua negeri-negeri ini diperintah oleh raja-raja Melayu yang berdaulat dalam negerinya masing-masing.

Tetapi akibat 'telunjuk lurus kelengkeng berkait' penjajah barat baik Portugis, Belanda, Inggeris mahupun Amerika yang pada awalnya hendak berdagang akhirnya sedikit demi sedikit negeri-negeri Melayu ini telah menjadi tanah jajahan berabad-abad lamanya.

Tuduhan-tuduhan dari orang-orang barat yang mengatakan bahawa orang-orang Melayu berkebudayaan lanun seperti yang pernah kita dengar beberapa tahun yang lalu adalah semata-mata karut dan sengaja direka dengan maksud dan niat serta bertujuan jahat.

Orang-orang Melayu telah bertamadun sejak beribu tahun yang lalu. Selain daripada dapat mengatur dan mentadbir negaranya sendiri sesuai dengan keadaan waktu itu, nenek moyang kita juga telah biasa mengharungi samudera luas seperti Lautan Hindi, Laut China dan sekitar Lautan Pasifik Selatan selain dari laut alam Melayu dengan menggunakan kapal-kapal layar yang besar yang mereka bina sendiri.

Mereka bukan saja membuat perhubungan dengan negeri China, sebelah timur, malah dengan negara yang lebih bertamadun dan kuat di barat yang kita kenal dengan nama Benua Rom.

Laksamana Hang Tuah pernah diutus oleh Sultan Melaka sebagai duta pelawat dikedua-dua buah negara tersebut, selain dari menjalin hubungan dan mengikat tali persahabatan di antara kerajaan Melayu Melaka dengan negeri China dan Benua Rom, hubungan dagang juga telah turut dilakukan.

Orang-orang Bugis umpamanya walaupun dicap sebagai perompak lanun oleh orang-orang barat, tetapi apa yang sebenarnya, mereka adalah perwira-perwira angkatan laut yang gagah perkasa dan mahir dalam peperangan laut. Angkatan laut Portugis, Belanda dan juga Inggeris banyak yang tewas di tangan mereka yang telah menguasai laut alam Melayu sehinggalah ke Riau dan Semenanjung Tanah Melayu.

Sebagaimana dengan negeri-negeri lain, Negeri Sembilan juga tidak kurang dengan susunan pentadbiran yang teratur meskipun ia merupakan sebuah negeri yang baru terbentuk setelah runtuhnya kerajaan Melayu Melaka dan Johor.

Raja Melewar yang dijemput dari Minangkabau itu telah ditabalkan pada tahun 1773M oleh Datuk-datuk Penghulu Luak (waktu itu belum bergelar Undang) di Kampung Penajis, Rembau. Sebelum itu walaupun Negeri Sembilan di bawah pemerintahan Sultan Johor, tetapi Luak-luak di Negeri Sembilan ini adalah di bawah pentadbiran Penghulu masing-masing dengan dibantu oleh Lembaga dan Buapak. Sistem pentadbiran negeri dapat dikatakan satu pemerintahan yang bercorak demokrasi yang berbentuk 'tear system'. Perbilangan yang menyebutkan,

'Bulat anak buah menjadikan Buapak
Bulat Buapak menjadikan Lembaga
Bulat Lembaga menjadikan Penghulu
Bulat Penghulu menjadi Raja'

membuktikan atas kebenaran ini. Manakala sistem pentadbiran pula turun dari atas iaitu Raja, Penghulu, Lembaga dan Buapak. Buapak yang memiliki anak buah menyampaikan segala perintah. Itulah yang disebutkan dalam perbilangan adatnya:

'Berjenjang naik, bertangga turun'.

Setelah penjajah Inggeris mencampuri pemerintahan, maka berlakulah berbagai-bagai perkara yang tidak diingini -"pecah-pecah dan perintah" yang menjadi permainan penjajah itu telah digunakan dengan bijaksana oleh penjajah Inggeris. Akhirnya Sungai Ujung dan Jelebu terpaksa menerima seorang Residen British, kemudian diikuti oleh Rembau manakala Seri Menanti telah kalah berperang dengan Inggeris yang dibantu oleh Penghulu Syed A.Rahman Sungai Ujung pada tahun 1874M.

Nama Negeri Sembilan yanag kita warisi sekarang ini adalah diambil dari nama 'Sembilan Negeri' yang diketuai oleh 'Sembilan Penghulu' yang menabalkan Raja Melewar. Perkataan 'Negeri' di pangkal huruf 'Sembilan' itu adalah diambil dari istilah yang lazim dipakai dari tanah leluhur (asal) Minangkabau yang membawa pengertian satu kawasan atau daerah yang kira-kira seluas luak atau mukim atau kampung, orang-orang Minang memanggil dengan nama 'negeri'. (Huraian lanjut mengenai perkara ini ada saya jelaskan dalam buku 'Takhta Kerajaan Negeri Sembilan').

DI SEBALIK NAUNGAN

Sebelum negara mencapai kemerdekaan sebagaimana juga negeri-negeri Melayu yang lain, Negeri Sembilan adalah sebuah negeri yang dijajah sejak YamTuan Antah dialahkan dalam perang Bukit Putus dalam tahun 1874M itu. Meskipun kerajaan Inggeris mendewa-dewakan bahawa, negeri-negeri Melayu ini adalah negeri naungan di baawah panji-panji kerajaan Inggeris, Ia tidak sama tarafnya dengan Negeri-negeri Selat seperti Singapura, Pulau Pinang dan Melaka. Pegawai Inggeris yang menjadi wakil Baginda King di England itu dipanggil Gobenor, sebaliknya dalam Negeri-negeri Melayu yang sembilan lagi itu gelaran Gobenor ini dipanggil Pesuruhjaya Tinggi British (British High Commissioner) saja.

Negeri ini memiliki bendera sendiri, lagu kebangsaan sendiri seolah-olah menggambarkan sebagai sebuah negeri yang berdaulat. Baik Pesuruhjaya Tinggi Inggeris yang beribu pejabat di Singapura itu, Residen British atau pegawai-pegawai daerah yang semuanya Inggeris dalam surat menyurat dengan DYMM, Datuk-datuk Undang, Penghulu malah dengan Datuk-datuk Lembaga pun mereka membahasakan dirinya dengan perkataan 'beta' dan 'sahabat beta', ertinya mempunyai taraf yang sama.

Sebaliknya kalau kita meneliti perjanjian yang dikatakan persahabatan di antara British di satu pihak dengan Raja dan Undang di pihak lain ada disebutkan disitu, bahawa kerajaan British berhak meletakkan seorang Pegawai British, yang dipanggil 'British Resident' untuk memberikan nasihat dalam bidang pentadbiran yang mesti dipatuhi kecuali yang mengenai agama dan adat istiadat.

Bagi menjalankan pentadbiran dalam negeri, yang dikatakan bersahabat itu, kerajaan British telah membentuk sebuah majlis pentadbiran yang dipanggil 'Dewan Keadilan dan Undang. Anggotanya terdiri dari DYMM Yang DiPertuan Besar sebagai Pengerusi, Resident British, Datuk-datuk Undang yang Ampat, Tunku Besar Tampin, Tunku Besar Seri Menanti, Datuk Shahbandar dan seorang ketua kaum Cina, manakala seorang pegawai Inggeris menjadi setiausahanya.

Dewan ini berkuasa membuat undang-undang dan peraturan. Ia dapat diandaikan seperti Exco sekarang, yang berbeza Exco tidak berkuasa membuat undang-undang.
Meskipun dikatakan 'Dewan Keadilan' yang dipengerusikan oleh DYMM itu berkuasa membuat undang-undang dan menjadi pusat cucuran tadbir pemerintahan negeri tetapi nasihat Residen British hendaklah diterima dan dipatuhi. Kebijaksanaan diplomasi Inggeris yang lunak di sebalik menggunakan perkataan 'nasihat' tidak 'perintah' itu menjadikan orang-orang Melayu termasuk orang-orang besar kita khayal dibuai dalam mimpi-mimpi indah yang tidak ramai di antara kita yang menyedari 'mulut disuap pisang, buntut dicangkuk duri'.

SELEPAS PERANG

Setelah Inggeris kembali ke Semenanjung ini sesudah Jepun menyerah kalah dalam Perang Dunia Kedua pada penhujung tahun 1945,kerajaan Inggeris telah memaksakan pemerintahan Malayan Union. Dengan itu jadilah negara ini secara langsung terletak di bawah pentadbiran dan jajahan takluk Inggeris.

Isu ini telah membangkitkan kemarahan orang-orang Melayu.Dengan perpaduan yang kukuh di bawah pimpinan Datuk Onn Jaafar terbentuklah UMNO.Gagasan Malayan Union yang dipaksakan itu ditentang habis-habisan, akhirnya penjajah Inggeris mengalah dan Persekutuan Tanah Melayu pun dibentuk pada 1hb. Februari 1948.

Dalam masa pentadbiran Malayan Union kira-kira dua tahun lamanya itu kuasa pentadbiran negeri adalah terletak di tangan seorang pegawai Inggeris yang dipanggil 'Resident Commissioner', pegawai Inggeris yang pertama bernama A.J. Colder.Raja dan Undang yang sebelum perang sebanyak sedikit boleh bersuara dalam Dewan Keadilan dan Undang, tetapi dalam pemerintahan Malayan Union , 'Dewan' ini tidak wujud lagi.

Setelah 'Persekutuan Tanah Melayu' terbentuk pada tahun 1948 itu, maka corak pemerintahan Negeri Sembilan dan lain-lain negeri di Semenanjung turut berubah. Selain dari Pulau Pinang dan Melaka, semua sembilan buah negeri Melayu yang beraja telah melantik ketua-ketua pentadbirnya dengan nama 'Menteri Besar'. Bagaimanapun oleh kerana negeri ini masih lagi dijajah, maka kerajaan Inggeris tetap juga meletakkan seorang pegawai Inggeris yang telah ditukar namanya dari 'British Resident' sebelum perang dan 'Resident Commissioner' dalam masa Malayan Union kepada 'British Adviser' atau Penasihat British'.

Dengan terbentuknya Persekutuan Tanah Melayu ini bermulalah satu babak baru dalam pentadbiran negeri. Kalau sebelumnya Negeri Sembilan belum ada perlembagaan yang bertulis tetapi sebaik-baik sahaja Persekutuan Tanah Melayu terbentuk pentadbiran Negeri Sembilan juga turut menerima perubahan, sebuah perlembagaan yang bertulis telah dikanunkan.

Dengan berkuatkuasanya perlembagaan ini maka terbentuklah sebuah dewan undangan yang dinamakan Majlis Undangan Negeri (State Legislative Council) dengan semua ahlinya dilantik oleh DYMM Yang DiPertuan Besar Negeri Sembilan dengan persetujuan Undang yang Ampat.

Majlis Undangan ini dianggotai seramai 27 orang yang dipengerusikan oleh Menteri Besar.

MAJLIS UNDANGAN NEGERI

Ruang Majlis Undang Negeri yang pertama telah ditempatkan di tingkat atas di hujung Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri yang lama. Di bawah dewan tersebut terletak Mahkamah Tinggi. Persidangan pertama telah diadakan pada tahun 1948. Ahlinya terbahagi kepada dua bahagian, sebahagian dikenal dengan nama 'ahli rasmi' dan sebahagian lagi ' ahli tidak rasmi'.

Ahli rasmi terdiri dari pegawai-pegawai kerajaan yang berjawatan iaitu Menteri Besar, Penasihat British, Setiausaha Kerajaan Penasihat Undang-undang, Pegawai kewangan dan Pegawai Daerah Seremban iaitu daerah yang terkanan.

Manakala ahli tidak rasmi pula adalah ahli-ahli yang dilantik yang terdiri dari tokoh-tokoh masyarakat yang terkenal, biasanya secara tidak lansung ketua-ketua atau pemimpin-pemimpin bangsa, Melayu, Cina, India dan adakalanya ketua-ketua orang-orang Eurasian. Semua perlantikan ini terpulang kepada budibicara Yang DiPertuan dan Undang dengan nasihat dari Penasihat British. (Senarai ahli-ahli yang pertama dilantik setelah Persekutuan Tanah Melayu wujud).

Pengerusi Persidangan dengan sendirinya ialah Menteri Besar. Menteri Besar yang pertama, Datuk A.Malek b. Yusuf dari 1hb., 1948 - 10hb. Ogos, 1950.

PILIHANRAYA PERTAMA 1955

Setelah pilihanraya pertama diadakan pada tahun 1955 kedudukan keanggotaan ahli-ahli Majlis Undangan Negeri ini telah berubah. Dua belas orang dari 24 orang anggota-anggota terdiri dari ahli-ahli yang dipilih oleh rakyat dan 12 orang lagi ahli yang dilantik.

Kali pertama juga dalam sejarah Majlis Undangan Negeri, seorang pengerusi majlis yang dipanggil 'Speaker' telah dilantik dari seorang ahli yang dipilih. Orang yang pertama diangkat menjadi Speaker ialah YB.Cikgu A.Wahab bin Idus, wakil dari kawasan Tampin.

Majlis Undangan yang berbentuk demikian berjalan sehingga pilihanraya 1959. Pilihanraya kali kedua ini - negara telah mencapai kemerdekaan. Dengan berlangsungnya pilihanraya kali yang kedua ini tercatatlah satu lagi lembaran sejarah dan pentadbiran negeri yang amat bererti bagi pejuang-pejuang politik kerana hasil keringat mereka untuk mendapatkan kemerdekaan telah tercapai. Keseluruhan ahli-ahli Dewan Undangan Negeri dipilih oleh rakyat selain dari membebaskan negara dari cengkaman penjajah Inggeris. Kita bersyukur ke hadrat Allah S.W.T. perjuangan merebut kemerdekaan berjalan dengan licin melalui saluran politik dan perlembagaan meskipun tidak sedikit peluh dan air mata yang bercucuran membasahi persada tanahair.

Majlis Undangan Negeri ini kemudiannya ditukar dengan nama Dewan Undangan Negeri. Seramai 24 orang ahli yang dipilih oleh rakyat termasuk Menteri Besarnya sekali. Dr.Mohd Said bin Muhammad, wakil rakyat Linggi, adalah Menteri Besar yang pertama, manakala ahli-ahli Exconya terdiri dari Idris bin Matsil, A.Samad bin Idris, Ariffin bin Ali, Lee Tee Siang, Lim Kee Siong, V. Letchumanan, Setiausaha Kerajaan, Penasihat Undang-undang dan Pegawai Kewangan Negeri turut menganggotai Exco atas nama jawatan 'Ex-officio', pegawai-pegawai ini tidak ada hak mengundi.

Pada tahun 1960, bangunan Dewan Undangan Negeri telah dipindahkan dari tempat lama ke bangunan baru. Bangunan ini adalah bangunan ini adalah bangunan Sungai Ujung Club iaitu sebuah kelab yang khusus ahlinya untuk orang-orang kulit putih saja (keahliannya dibukakan kepada orang-orang bukan kulit putih beberapa tahun selepas perang).

Persetujuan telah dicapai di antara kerajaan negeri dengan ahli-ahli kelab ini agar mereka berpindah kebangunan yang ada sekarang (dulunya Istana Hinggap). Bangunan ini telah diubahsuai selaras dengan sebuah Dewan Undangan Negeri, kerana bangunan ini agak besar dan luas, maka sebahagian darinya dijadikan bangunan Mahkamah Tinggi dan sebahagian lagi dijadikan Pejabat Pertanian Negeri. Bangunan ini telah digunakan selama 26 tahun sehingga bangunan baru yang ada sekarang ini siap untuk digunakan.
 


2


Dipinjam dari Laman http://www.sukns.gov.my/sejarahns.htm untuk tugasan ini.